TAWAU: Polis mengesan kegiatan disyaki menyeleweng kira-kira 6,000 liter minyak diesel bersubsidi menggunakan kad fleet dalam operasi pemantauan dan risikan di Jalan Sin San, di sini.
Susulan penemuan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kes berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau hari ini untuk tindakan lanjut.
KPDN Tawau dalam kenyataan memaklumkan, sebuah lori tangki jenis Nissan bersama kira-kira 6,000 liter diesel berkenaan turut disita, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM125,420.
Menurut kenyataan itu, kes berkenaan diserahkan kepada Seksyen Penguat Kuasa KPDN Tawau selepas polis menjalankan pemantauan dan risikan di kawasan terbabit.
“Hasil serahan itu, KPDN Tawau membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menyiasat kesalahan disyaki penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan barang kawalan,” menurut kenyataan itu.
KPDN memaklumkan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.
Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
“KPDN tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan atau penyalahgunaan minyak diesel bersubsidi,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN Tawau menegaskan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyelewengan barang kawalan demi melindungi kepentingan rakyat dan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui portal e-Aduan KPDN atau menghubungi KPDN Tawau di talian 089-776690.-DAKWAT RAKYAT POST
