LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantu memindahkan seorang pesakit lelaki berusia 63 tahun dalam keadaan kritikal dari Langkawi ke Kuala Perlis bagi membolehkannya mendapatkan rawatan kepakaran neurosurgeri dengan segera di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bantuan pemindahan itu dilaksanakan susulan permohonan kecemasan daripada Jabatan Surgikal Hospital Sultanah Maliha pada malam 29 Oktober lalu.
Menurutnya, penggunaan aset Maritim Malaysia diperlukan berikutan kekangan perkhidmatan feri awam pada waktu malam, selain memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan selamat serta diiringi petugas perubatan sepanjang perjalanan.
Beliau berkata, sejurus menerima permohonan berkenaan, pihaknya mengatur gerak Bot Penggalang 2 pada jam 12.01 tengah malam, 30 Oktober, dari Jeti Maritim Langkawi menuju ke Jeti Feri Kuala Perlis.
“Bot Penggalang 2 selamat tiba di Jeti Feri Kuala Perlis pada jam 1.10 pagi sebelum pesakit diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Pesakit berkenaan diiringi empat individu terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat terlatih, pembantu perawatan kesihatan dan seorang ahli keluarga.
Mohamad Shukri berkata, bantuan itu mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam memberikan khidmat kemanusiaan kepada masyarakat, khususnya ketika berhadapan situasi kecemasan yang memerlukan tindakan pantas dan penyelarasan antara agensi.
“Maritim Malaysia bukan sahaja berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang dan menjaga keselamatan perairan negara, malah turut menggalas tanggungjawab kemanusiaan demi kesejahteraan masyarakat.
“Dalam situasi kecemasan perubatan seperti ini, tindakan pantas dan kerjasama erat dengan pihak hospital serta agensi berkaitan amat penting bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan dengan selamat untuk menerima rawatan sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan aset dan anggota Maritim Malaysia akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan berkesan apabila diperlukan, khususnya kepada penduduk pulau dan komuniti yang berhadapan kekangan akses pengangkutan.
Selepas menyelesaikan misi pemindahan berkenaan, Bot Penggalang 2 meneruskan rondaan di sekitar kawasan operasi.-DAKWAT RAKYAT POST
