TAWAU: Serbuan bersepadu polis bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di lapan hotel termasuk premis penginapan bajet sekitar daerah ini membawa kepada penahanan enam individu disyaki terbabit kesalahan jenayah syariah.
Operasi menerusi Op Cegah Maksiat dan Pelacuran itu menyasarkan premis penginapan di empat lokasi, iaitu Jalan Bakau, Jalan Masjid, Jalan Dunlop dan Jalan Bunga.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama JHEAINS Daerah Tawau bagi mengesan kegiatan menyalahi undang-undang.
“Pemeriksaan dijalankan membabitkan lesen perniagaan premis dan dokumen pengenalan diri individu yang menyewa bilik turut diteliti.
“Hasil pemeriksaan, empat individu dikesan dalam pemeriksaan pertama, manakala dua lagi ditemukan dalam pemeriksaan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosdi berkata, kesemua enam individu itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah.
Katanya, mereka kemudian diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“Operasi bersepadu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan polis bersama agensi penguat kuasa bagi membendung kegiatan menyalahi undang-undang.
“Kerjasama antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang dan menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
