KOTA KINABALU: Cadangan penutupan atau pengurangan operasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau disifatkan sebagai satu langkah ke belakang dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada masyarakat, khususnya penduduk di Pantai Timur Sabah.
Calon Dewan Belia Sabah merangkap alumni UiTM, Mohd Shadam Abu berkata, sebarang keputusan yang boleh menjejaskan operasi kampus berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia berpotensi memberi kesan kepada peluang pendidikan anak-anak muda di kawasan terbabit.
Menurutnya, UiTM Kampus Tawau memainkan peranan penting sebagai pusat pengajian tinggi yang menyediakan peluang kepada golongan belia dari Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan kawasan sekitarnya untuk menyambung pengajian tanpa perlu menanggung kos perjalanan, penginapan serta perbelanjaan sara hidup yang lebih tinggi di luar daerah.
Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian serius, terutama membabitkan keluarga berpendapatan rendah, golongan B40 dan anak muda yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha memperluas kemudahan pendidikan tinggi di Sabah, termasuk menambah cawangan, program pengajian dan peluang pembelajaran kepada anak tempatan, bukannya mengurangkan kemudahan sedia ada.
“Sepatutnya cawangan UiTM di Sabah ditambah, bukannya ditutup,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Shadam berkata, Sabah sebagai negeri yang mempunyai keluasan geografi besar masih memerlukan usaha berterusan bagi memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan lebih ramai graduan tempatan.
Beliau turut mempersoalkan mesej yang disampaikan kepada generasi muda sekiranya institusi pendidikan tinggi sedia ada berdepan risiko penutupan, sedangkan usaha memperkasa belia dan memperluas peluang pendidikan sering diberikan penekanan dalam agenda pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pembangunan institusi pendidikan baharu seperti politeknik sememangnya dialu-alukan, namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengurangkan atau menamatkan peranan UiTM Kampus Tawau.
Sebaliknya, kedua-dua institusi berkenaan boleh terus beroperasi secara bersama dengan fungsi dan bidang pengajian masing-masing bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi, pengurusan UiTM dan Kerajaan Negeri Sabah supaya memberikan penjelasan rasmi serta telus berhubung status sebenar cadangan rasionalisasi kampus berkenaan.
Beliau turut meminta supaya sebarang cadangan penutupan atau pengurangan operasi dinilai semula dengan mengambil kira kesannya terhadap masyarakat Pantai Timur Sabah.
Selain itu, beliau mencadangkan agar Kampus Tawau dikekalkan, di samping meneroka peluang menambah cawangan, program pengajian dan kemudahan pendidikan tinggi di Sabah.
Katanya, wakil masyarakat, alumni, mahasiswa dan golongan belia juga wajar diberikan ruang untuk terlibat dalam perbincangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Menurut Mohd Shadam, kemajuan sesebuah negeri bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal dan infrastruktur, tetapi turut dinilai berdasarkan keupayaan menyediakan peluang pendidikan yang adil, mampan dan berterusan kepada rakyat.
Beliau menegaskan bahawa usaha membangunkan masa depan Sabah seharusnya disertai dengan pengukuhan institusi pendidikan sedia ada serta penambahan peluang kepada generasi akan datang.
“Pendidikan bukan satu beban kepada pembangunan. Pendidikan ialah asas kepada pembangunan.
“Tambah peluang pendidikan, bukan kurangkan peluang anak Sabah,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
