KOTA KINABALU, 30 Oktober 2026 – Sebanyak 291 projek pembangunan berjaya disiapkan di Sabah sepanjang 2026, sekali gus mencerminkan perkembangan positif pelaksanaan agenda pembangunan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata pencapaian itu turut disokong peningkatan ketara prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah, daripada 52.07 peratus pada 10 Ogos kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober lalu.
Menurutnya, peningkatan sebanyak 19.71 mata peratusan dalam tempoh kurang tiga bulan menunjukkan kesungguhan kerajaan memperkukuh pelaksanaan projek pembangunan agar dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata kejayaan berkenaan turut didorong kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk penglibatan kementerian, jabatan serta agensi yang bertanggungjawab melaksanakan projek terbabit.
Antara projek yang telah disiapkan ialah Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang, yang dijangka memberikan kemudahan pendidikan lebih baik kepada masyarakat, khususnya golongan pelajar.
Nizam turut menghargai komitmen berterusan Ketua Menteri dalam memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan dengan teratur, selain menitikberatkan penyelarasan antara agensi, kecekapan pelaksanaan serta penggunaan peruntukan secara optimum.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap penegasan Hajiji ketika Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah agar semua kementerian dan agensi pelaksana mempergiat usaha serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang jelas bagi mengatasi sebarang kekangan pelaksanaan projek.
Katanya, penekanan terhadap pencapaian hasil amat penting bagi memastikan setiap perancangan kerajaan memberikan kesan nyata kepada kehidupan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Nizam menyambut baik peningkatan peruntukan kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang berjumlah RM18.7 bilion, berbanding RM17.6 bilion pada 2026.
Beliau berkata keutamaan terhadap pelaksanaan projek strategik, termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B, projek STATCOM di Sandakan dan Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang, merupakan langkah yang dialu-alukan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur negeri.
Selain itu, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak, diharap dapat memperbaiki kemudahan pembelajaran serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Nizam berkata kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan diyakini mampu mengekalkan momentum pembangunan, merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperluas kemudahan infrastruktur dan meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam serta semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana atas sumbangan mereka dalam menjayakan pelaksanaan projek pembangunan berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
