RIYADH: Pasukan pertahanan Arab Saudi berjaya memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman menuju ke ibu negara, Riyadh, pada Khamis.
Dalam kejadian itu, seorang orang awam dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas kedua-dua peluru berpandu berkenaan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara Arab Saudi.
Menurut pihak berkuasa pertahanan awam negara itu, kejadian berkenaan turut mengakibatkan sebuah rumah dan sebuah kenderaan mengalami kerosakan.
Amaran keselamatan udara sebelum itu turut dikeluarkan kepada penduduk di Riyadh, wilayah Najran dan Al-Kharj susulan ancaman serangan berkenaan.
Bagaimanapun, pihak pertahanan awam kemudian memaklumkan bahawa keadaan telah kembali selamat kira-kira 20 minit selepas amaran dikeluarkan.
Jurucakap pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi mengesahkan kedua-dua peluru berpandu balistik berkenaan berjaya dipintas dan dimusnahkan sebelum mencapai sasaran.
Insiden terbaharu itu menambah ketegangan keselamatan di Arab Saudi susulan beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan kawasan bandar, lapangan terbang serta kemudahan tenaga negara berkenaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada Rabu, pasukan gabungan berkenaan turut mengumumkan kejayaan memintas dan memusnahkan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah bandar Taif di barat Arab Saudi.
Perkembangan itu mencerminkan peningkatan ancaman keselamatan serantau susulan konflik berterusan membabitkan kumpulan Houthi di Yaman dan pasukan gabungan pimpinan Arab Saudi.
Kredit sumber: Arab News, Dawn
