MIRI: Sebanyak 31 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Motosikal yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, operasi bermula jam 8 malam pada 30 Oktober hingga 1.30 pagi, 31 Oktober itu tertumpu di sekitar Desa Senadin, Jalan Maigold 3 dan Jalan Piasau.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membendung aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Sepanjang operasi, seramai 43 lelaki dan tiga wanita diperiksa bersama 40 motosikal.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan dan sebanyak 31 saman dikeluarkan terhadap kesalahan yang dikesan,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, selain tidak memasang cermin sisi serta tidak mempamerkan nombor pendaftaran.
Kesalahan lain turut melibatkan penggunaan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi atau nombor pendaftaran ‘fancy’.
Bagaimanapun, kesalahan paling banyak dikesan ialah tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Mohd Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan sehingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, mengelakkan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi ditetapkan serta tidak melakukan aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.-DAKWAT RAKYAT POST
