TAWAU: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, di sini, pada 29 Oktober lalu.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau selepas mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Dalam serbuan pertama, polis memeriksa sebuah Perodua Alza berwarna putih sebelum menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan yang berada di dalam kenderaan itu.
Pemeriksaan turut menemukan dua paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan kira-kira 0.30 gram.
Dalam serbuan kedua di kawasan sama, polis menahan seorang lelaki bukan warga tempatan yang dilihat berlegar dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan terhadap lelaki itu menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.26 gram.
Ketiga-tiga suspek turut didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine menerusi ujian saringan awal air kencing, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis akan terus menjalankan risikan serta operasi secara berterusan bagi mengenal pasti dan mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian bekalan dadah.
Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya menjauhi dadah serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran bahan terlarang itu.-DAKWAT RAKYAT POST
