KUCHING: Dua individu ditahan selepas didapati positif ujian saringan awal air kencing terhadap dadah dalam operasi pemeriksaan di lima premis hiburan sekitar bandar raya Kuching, pada 29 hingga 30 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, pemeriksaan di lima premis hiburan itu membawa kepada penahanan dua individu yang didapati positif saringan awal air kencing terhadap dadah.
“Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Alexson berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.
Beliau menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan pengedaran, pemilikan atau perbuatan melindungi aktiviti berkaitan dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan terus komited memerangi kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya menerusi talian Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211. -DAKWAT RAKYAT POST
