KOTA KINABALU: Kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan, persatuan industri dan sektor swasta diperlukan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah menangani cabaran serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri kerana sektor itu bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah menjadi sumber pendapatan masyarakat di bandar, daerah dan kawasan luar bandar.
Bagaimanapun, katanya, banyak PKS masih berdepan kesukaran mendapatkan akses kepada pembiayaan, teknologi dan pasaran lebih luas, selain tekanan peningkatan kos operasi.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital seperti e-dagang, media sosial dan pembayaran digital mampu membantu usahawan mengatasi kekangan jarak serta lokasi dalam mengembangkan perniagaan.
“Menerusi e-dagang, media sosial dan pembayaran digital, usahawan di kawasan luar bandar Sabah juga mampu menjangkau pelanggan di luar komuniti mereka.
“Kita juga perlu memastikan golongan wanita, belia dan perusahaan berasaskan komuniti mendapat sokongan serta peluang yang diperlukan untuk terus berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada majlis perasmian BIGSABAH Sale 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, penganjuran BIGSABAH Sale 2026 yang menghimpunkan pempamer dari 12 negara dan sembilan negeri di Malaysia mampu membuka ruang kepada PKS tempatan untuk mengembangkan perniagaan serta meneroka pasaran baharu.
Katanya, kedudukan strategik Sabah dalam kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) turut menawarkan peluang perdagangan yang luas, khususnya dalam sektor pelancongan, pertanian, pengeluaran makanan, logistik dan perkhidmatan.
Bagi memanfaatkan peluang itu, beliau berkata, usahawan tempatan perlu terus meningkatkan kualiti produk, penjenamaan dan pembungkusan bagi memenuhi keperluan pasaran yang lebih luas.
“Produk makanan tempatan, kraftangan, hasil pertanian dan perkhidmatan kita mempunyai potensi pasaran yang jauh lebih luas, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di luar negeri ini,” katanya.
Beliau turut berharap penyertaan pempamer dari luar negara dan Semenanjung Malaysia dapat mewujudkan hubungan perdagangan berkekalan, peluang pengedaran produk serta menarik pelaburan baharu.
Katanya, hubungan perniagaan dengan perniagaan (B2B) perlu diperkukuh supaya usahawan tempatan bukan sekadar mempamerkan produk, tetapi berpeluang menjalin kerjasama strategik bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, usaha mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat pada 2026 serta persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027 perlu turut memberi manfaat secara langsung kepada perniagaan tempatan.
Menurutnya, peningkatan jumlah pelawat seharusnya membuka lebih banyak peluang kepada peruncit, pengeluar makanan, penyedia perkhidmatan dan perusahaan berasaskan komuniti di Sabah.
Beliau berkata, kehadiran pempamer, pembeli dan pengunjung menerusi BIGSABAH Sale turut meningkatkan permintaan terhadap sektor penginapan, pengangkutan, makanan serta pelbagai perkhidmatan tempatan.
Malah, manfaat penganjuran itu dijangka berterusan selepas acara berakhir sekiranya pertemuan perniagaan berjaya menghasilkan tempahan pembelian, perjanjian pengedaran atau pelaburan baharu.
Hajiji turut menggalakkan semua pempamer memanfaatkan peluang berkenaan untuk bertemu pembeli, bertukar-tukar idea dan membina jaringan kerjasama perniagaan.
Beliau berharap tema BIGSABAH Sale 2026, iaitu ‘Across Markets, Beyond Borders’, menjadi inspirasi kepada usahawan Sabah untuk melangkah lebih jauh dan meneroka peluang pasaran dengan penuh keyakinan.-DAKWAT RAKYAT POST
