KOTA MARUDU: Isu penggunaan ruang parkir kenderaan sebagai tapak perniagaan oleh penjaja di kawasan hadapan Pasar Kota Marudu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kemudahan awam terus terpelihara dan tidak menjejaskan keselesaan masyarakat.
Pengerusi Persatuan Pelita Didik Sejarah Sabah, Alfie bin Mohd Khanafi berkata, pihaknya mengambil maklum aduan orang awam berhubung penggunaan sebahagian ruang parkir di hadapan bangunan berhadapan pasar berkenaan untuk aktiviti penjajaan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna, khususnya pejalan kaki yang menggunakan kaki lima kedai serta pemilik kenderaan yang memerlukan kemudahan parkir.
Katanya, penggunaan ruang parkir sebagai tapak perniagaan juga berpotensi mengganggu pergerakan kenderaan, keselamatan pejalan kaki dan kelancaran lalu lintas di kawasan berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, terdapat kebimbangan masyarakat berhubung dakwaan kewujudan penjaja bukan warganegara yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.
“Perkara ini perlu disemak dan disahkan oleh pihak berkuasa, khususnya berkaitan status kewarganegaraan, permit kerja, lesen atau permit penjajaan serta pematuhan terhadap syarat perniagaan yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, Alfie mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan bersepadu bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua penjaja mematuhi undang-undang serta peraturan penggunaan kawasan awam.
Pada masa sama, katanya, kebajikan penjaja tempatan yang menjalankan perniagaan secara sah juga perlu diberi perhatian menerusi penyediaan tapak penjajaan yang lebih tersusun dan bersesuaian.
Beliau menegaskan penguatkuasaan serta pemeriksaan lesen perniagaan perlu dilaksanakan secara adil, teratur dan berlandaskan undang-undang tanpa mengabaikan hak orang awam terhadap kemudahan parkir, keselamatan serta keselesaan persekitaran.
Mengulas usaha penyelesaian isu itu, Alfie berkata, pembinaan dua kawasan pasar awam berbumbung yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkaitan merupakan langkah yang diharapkan dapat mengatasi rungutan masyarakat mengenai penggunaan ruang awam.
Beliau berharap kedua-dua kemudahan baharu itu dapat menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selesa dan teratur kepada penjaja, selain memudahkan orang ramai menjalankan urusan harian.
Katanya, penyediaan kemudahan bersesuaian bersama penguatkuasaan yang konsisten penting bagi memastikan aktiviti penjajaan yang sah terus berkembang, sekali gus membantu merancakkan ekonomi daerah tanpa menjejaskan kepentingan masyarakat.-DAKWAT RAKYAT POST
