Oleh: Abdul Karim
KUALA TERENGGANU : Keberkesanan program pembangunan belia tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira penglibatan peserta serta isu yang dibangkitkan sepanjang pelaksanaannya.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, pendekatan itu antara aspek yang akan diberi perhatian dalam menilai pelaksanaan Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026, yang kini memasuki siri ke-16 di Terengganu.
Menurutnya, maklum balas yang diterima sepanjang siri jelajah itu secara umumnya positif, namun penambahbaikan masih diperlukan bagi memastikan program berkenaan terus memenuhi keperluan golongan sasaran.
Katanya, pendekatan mendekati belia perlu disesuaikan dengan keadaan setempat, termasuk memastikan golongan muda di luar bandar turut mendapat peluang menyuarakan pandangan dan keperluan mereka.
“Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan bandar, malah turut mendekati belia di luar bandar.
“Justeru, kita akan meneliti semula pelaksanaannya bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan untuk siri akan datang,” katanya ketika ditemui pada KIBAR Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, Pulau Duyong, di sini, hari ini.
Mengulas maklum balas peserta, beliau berkata, antara perkara yang kerap dibangkitkan ialah keperluan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sukan, selain sokongan kewangan bagi melaksanakan aktiviti belia.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat perlu memahami bahawa peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merangkumi skop lebih luas dan tidak terhad kepada penyediaan fasiliti sukan atau penyaluran geran semata-mata.
Sesi dialog yang diadakan sepanjang program itu turut membuka ruang kepada peserta dari seluruh Terengganu untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan kementerian, termasuk mengemukakan pandangan berkaitan keperluan pembangunan belia di kawasan masing-masing.
KIBAR 2026 dilaksanakan menerusi 17 siri di seluruh negara sejak April lalu, dengan Pahang dijadual menjadi lokasi terakhir bagi inisiatif yang memberi tumpuan kepada usaha mendekati belia tidak berpersatuan serta menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti pembangunan komuniti- DAKWAT RAKYAT POST
