ISKANDAR PUTERI: Tiga individu tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di hadapan sebuah pasar raya di Taman Pulai Utama, Skudai, yang tular di media sosial pada 30 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Radin Ramlan bin Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.38 petang hari berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang antara dua pihak yang saling mengenali sebelum bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun mengalami kecederaan patah kaki kanan susulan insiden membabitkan sebuah kereta yang dipandu oleh salah seorang individu terlibat.
“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga, selain sedang giat mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian berkenaan.
ACP Radin Ramlan berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang ditahan mendapati mereka negatif dadah, manakala semakan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kejadian itu turut dirakam orang awam sebelum dimuat naik ke laman Facebook oleh seorang pengguna bernama “Khairul Blueblack” sehingga mendapat perhatian ramai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, ACP Radin Ramlan menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham serta mengelakkan penyebaran spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
