MUKAH: Dua individu tempatan, masing-masing seorang wanita dan lelaki, ditahan dalam Op Tapis Khas yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Mukah, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah berkenaan.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan seorang wanita berusia 27 tahun yang ditahan kira-kira jam 10.20 pagi di tepi Jalan Tapak Pesta Kaul, Mukah.
Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang barang salah, namun ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek yang tidak mempunyai rekod lampau itu kemudian dibawa ke Pejabat BSJND IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Dalam tangkapan kedua kira-kira jam 10.50 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bedanga Ulu, Mukah.
Pemeriksaan awal turut tidak menemukan sebarang barang salah, bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Suspek kedua juga tidak mempunyai rekod lampau dan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muhamad Rizal berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah pada tahun ini.
Katanya, kedua-duanya dibawa untuk proses pengambilan cap jari sebelum ditahan di lokap Balai Polis Mukah bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihak BSJND IPD Mukah akan meneruskan siasatan bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk mengesan sumber bekalan dadah yang diperoleh kedua-dua suspek.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan berkenaan di daerah Mukah.-DAKWAT RAKYAT POST
