RAUB: Suruhanjaya Bebas Tatakelola Polis (IPCC) mempergiat pendekatan turun padang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan suruhanjaya itu serta saluran aduan berkaitan salah laku anggota polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha mendekati masyarakat penting bagi membina keyakinan orang ramai terhadap institusi kepolisan, selain memperkukuh integriti dan akauntabiliti pasukan keselamatan itu.
Menurutnya, integriti kepolisan bukan hanya bergantung kepada mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, sebaliknya turut memerlukan keyakinan serta kesediaan masyarakat untuk tampil menyalurkan aduan sekiranya berlaku salah laku.
“Saya melihat usaha ini sebagai sesuatu yang penting kerana integriti kepolisan bukan hanya bergantung kepada mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan, tetapi juga kepada keyakinan serta kesediaan masyarakat untuk tampil menyalurkan aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santuni MADANI anjuran IPCC di Kampung Kela, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, program berkenaan bukan sekadar platform untuk mendekati masyarakat, malah menjadi medium membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat, khususnya komuniti Orang Asli.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq menyediakan pameran dan khidmat konsultasi kepada penduduk yang berminat menyertai pasukan berkenaan.
Turut terlibat ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyediakan pemeriksaan kesihatan serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi perkhidmatan van MEKAR bagi memudahkan urusan berkaitan kad pengenalan.
Beliau turut menyampaikan MyKad baharu kepada beberapa penerima dalam kalangan masyarakat setempat.
Mengulas kedudukan Malaysia dalam aspek keselamatan, Saifuddin berkata, negara berada pada kedudukan ke-12 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026 dan berhasrat untuk terus memperbaiki pencapaian berkenaan.
Katanya, integriti, akauntabiliti dan profesionalisme pasukan polis menjadi antara elemen penting dalam memperkukuh keselamatan negara serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisan.
Terdahulu, Saifuddin turut menyantuni beberapa keluarga yang berdepan kesusahan dengan menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IPCC, agensi kerajaan yang terlibat serta masyarakat Kampung Kela dan kawasan sekitarnya atas sambutan diberikan.-DAKWAT RAKYAT POST
