MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam tiga kes kecurian barangan di premis Watson sekitar bandar raya ini pada 27 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis secara serentak pada 28 Oktober lalu daripada kakitangan Watson di Imperial Mall, Bintang Mega Mall dan Pelita Commercial Centre.
Menurutnya, ketiga-tiga laporan itu membabitkan kehilangan beberapa tin susu berlainan jenama dan jenis serta satu tiub losen kulit di premis berkenaan.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ketiga-tiga premis mendapati suspek yang sama dipercayai terlibat dalam semua kejadian berkenaan.
“Susulan laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Miri menjalankan usaha mengesan suspek berdasarkan rakaman CCTV sebelum berjaya menahannya pada 28 Oktober lalu, kira-kira jam 11.30 malam di sekitar Jalan Kampung Luak,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek turut membawa kepada penemuan beberapa pakaian dan aksesori yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan berkenaan.
Antara barangan dirampas ialah sehelai baju-T hitam, seluar jeans biru gelap, topi hitam dan cermin mata berwarna putih.
Menurut Mohd Farhan, penahanan suspek berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes kecurian berkenaan yang mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM813.72.
Katanya, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan turut didapati positif dalam ujian saringan air kencing.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya boleh dikenakan hukuman sebat.
Mohd Farhan berkata, kejayaan tangkapan itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam mengambil tindakan terhadap setiap laporan jenayah yang diterima, sama ada kes baharu mahupun kes terdahulu.
Beliau menegaskan IPD Miri akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.-DAKWAT RAKYAT POST
