PULAU PINANG: Sebanyak enam premis perniagaan di sekitar Pulau Pinang diarahkan tutup dan disita menerusi operasi penguatkuasaan OPS TEGAS yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pada 30 Oktober lalu.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), operasi berkenaan dilaksanakan pada sebelah petang dan malam dengan menyasarkan aktiviti pengendalian serta pengurusan premis perniagaan oleh warga asing, selain pelanggaran syarat lesen pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pemeriksaan melibatkan empat premis di sekitar Gat Lebuh Macallum dan Jalan Magazine pada sebelah petang, manakala dua lagi premis diperiksa di Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas pada sebelah malam.
Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan terbabit dalam aktiviti perniagaan kendalian warga asing serta ketidakpatuhan terhadap syarat dan peraturan pelesenan yang ditetapkan MBPP.
Susulan itu, tindakan penguatkuasaan diambil termasuk arahan penutupan dan penyitaan premis, rampasan peralatan perniagaan serta penurunan papan iklan yang tidak mematuhi ketetapan Majlis.
Antara barangan yang disita ialah papan iklan melintang dan terjulur, penimbang digital, pisau, kayu pemotong, gergaji mudah alih, rak besi serta peralatan gunting rambut.
Turut dirampas ialah ikan segar yang dikategorikan sebagai barangan mudah rosak sebelum dilupuskan serta-merta mengikut prosedur penguatkuasaan.
MBPP turut mengambil tindakan terhadap papan iklan premis yang didapati melanggar ketetapan, manakala beberapa pengusaha memaklumkan komitmen untuk menurunkan sendiri papan iklan perniagaan masing-masing dalam tempoh ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memberi kuasa kepada PBT mengambil tindakan bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
Kesemua premis yang dikenakan tindakan turut diserahkan notifikasi pemberitahuan bertulis dan diarahkan supaya tidak membuka atau merosakkan pita penghadang serta pengedap yang dipasang.
Pengusaha juga dilarang memasuki atau menceroboh premis bagi tujuan perniagaan serta diarahkan menghentikan semua aktiviti perniagaan di dalam atau di luar premis sehingga punca kacau ganggu ditangani sepenuhnya.
MBPP menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat terhadap pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, mengendalikan premis oleh warga asing tanpa mematuhi ketetapan berkuat kuasa, melanggar syarat lesen atau melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
Langkah berterusan itu bertujuan memastikan semua aktiviti perniagaan di kawasan pentadbiran MBPP dijalankan secara sah, teratur dan mematuhi peraturan serta piawaian ditetapkan.-DAKWAT RAKYAT POST
