Palikir, Micronesia: Lima individu termasuk dua kanak-kanak ditemukan masih hidup selepas hanyut sejauh kira-kira 5,400 kilometer (km) ke sebuah pulau terpencil di Kiribati, hampir tiga bulan selepas bot dinaiki mereka dilaporkan hilang di Micronesia.
Memetik ABC, mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan sembilan individu yang memulakan perjalanan pada 30 Julai untuk menyeberangi laluan antara Pulau Murilo dan Ruo di Negara Persekutuan Micronesia, yang sepatutnya mengambil masa sejam, sebelum terperangkap dalam ribut.
Difahamkan, Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) di Micronesia menghentikan operasi mencari pada 9 Ogos selepas 10 hari pencarian meliputi kawasan seluas 25,000 batu nautika dengan bantuan pesawat Tentera Laut dan Tentera Udara AS.
Bagaimanapun, pada Ahad, penduduk kampung di Pulau Fanning, Kiribati, ternampak bot yang hanyut itu sebelum menyelamatkan lima individu yang berada di dalamnya.
Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Kaotitaake Rakoroa berkata, mangsa dibawa masuk dan diberikan penjagaan oleh paderi gereja Uniting Church tempatan sebelum menerima rawatan daripada pegawai perubatan di pulau berkenaan.
Beliau berkata, polis di Pulau Kiritimati, pusat bandar paling hampir dengan Pulau Fanning, menyampaikan berita mengenai operasi menyelamat itu kepadanya di ibu negara, Tarawa.
Rakoroa turut mengesyorkan, supaya mangsa menaiki penerbangan terawal ke Pulau Kiritimati bagi mendapatkan rawatan perubatan lanjut.
Gambar dan video lima individu itu turut dimuat naik dalam talian pada Ahad, sejurus selepas mereka dibawa ke darat, namun kumpulan berkenaan masih belum bercakap secara terbuka mengenai pengalaman pahit yang dilalui dan meminta privasi mereka dihormati.
Sementara itu, Gabenor Negeri Chuuk, Alexander Narruhn berkata, daripada sembilan individu yang berada di dalam bot berkenaan, lima sudah ditemukan manakala nasib empat lagi masih belum diketahui.
“Terdapat sembilan individu di dalam bot yang dilaporkan hilang itu. Syukur kepada Tuhan atas kasih sayang dan rahmat-Nya kerana lima daripada sembilan individu itu sudah ditemukan,” katanya.
Narruhn berkata, beliau sudah meminta Presiden Negara Persekutuan Micronesia memulakan rundingan diplomatik dengan kerajaan Kiribati bagi membawa pulang mangsa yang terselamat.
Operasi menyelamat itu adalah kejadian terbaharu daripada beberapa insiden seumpamanya di perairan Kiribati, selepas seorang remaja berusia 18 tahun dari Bougainville, Papua New Guinea, diselamatkan minggu lalu selepas hanyut selama 41 hari.
Remaja dikenali sebagai Luka Rahan itu ditemukan di antara Pulau Tarawa dan Maiana, namun sepupunya meninggal dunia ketika melalui pengalaman berkenaan selepas kedua-duanya mengalami masalah enjin ketika memancing di utara Bougainville pada September lalu dan hanyut lebih 2,000 km ke Kiribati.
Kredit sumber: Agensi/Harian Metro
