BANGKOK: Seorang bayi berusia seminggu antara sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dalam serangan udara tentera Myanmar di beberapa lokasi sepanjang hujung minggu lalu, termasuk sebuah klinik bersalin dan sekolah.
Kumpulan bersenjata etnik, petugas bantuan dan pemantau hak asasi melaporkan kejadian itu semalam.
Petugas bantuan yang berpangkalan di Mrauk-U, Wai Hun Aung, berkata bayi perempuan berusia seminggu yang mempunyai seorang kembar itu sepatutnya dibawa pulang ke rumah pada keesokan hari.
Namun, bayi itu terbunuh apabila bangunan klinik runtuh akibat letupan bersama empat lagi mangsa, termasuk petugas kesihatan, turut terbunuh dalam serangan berkenaan.
Serangan itu berlaku ketika kerajaan pimpinan tentera meningkatkan operasi untuk merampas semula kawasan yang kini dikuasai kumpulan penentang, selepas bertahun-tahun kehilangan kawalan di beberapa wilayah negara itu.
Jurucakap kerajaan belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas serangan kejadian itu.
Sebelum ini, kerajaan menyifatkan operasi ketenteraannya sebagai tindakan sah untuk memerangi kumpulan yang digelarnya sebagai ‘pengganas’.
Pada Ahad, serangan udara menyasarkan empat daerah di negeri Rakhine, barat Myanmar, ketika pertempuran semakin sengit sejak beberapa minggu lalu.
Kumpulan Tentera Arakan yang menguasai sebahagian besar negeri itu kini semakin menghampiri ibu negeri, Sittwe.
Serangan itu turut membedil sebuah jambatan di Kyauktaw serta beberapa lokasi di Kyaukpyu dan Pauktaw.
Sebuah klinik sementara yang turut menempatkan wad bersalin di Mrauk-U, kawasan dikuasai Tentera Arakan, juga dibom sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan 32 yang lain.
Sehari sebelum itu, serangan udara di Loikaw, negeri Kayah berhampiran sempadan Thailand, menyasarkan sebuah sekolah ketika sesi pembelajaran berlangsung.
Serangan itu mengorbankan tiga pelajar dan mencederakan lima yang lain, menurut Kumpulan Hak Asasi Manusia Karenni (KnHRG) pada Isnin.
Tentera udara Thailand turut melakukan rondaan di kawasan sempadan selepas konflik merebak ke wilayahnya sehingga menyebabkan beberapa rumah rosak dan sekurang-kurangnya seorang penduduk cedera, menurut kerajaan Thailand.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, berkata negaranya sudah meminta Myanmar supaya lebih berhati-hati bagi memastikan konflik itu tidak menjejaskan Thailand.
Menurut KnHRG dan Setiausaha Majlis Eksekutif Sementara Karenni, Banyar Khun Aung, sebuah pesawat pengangkut Y-12 dan sebuah jet pejuang menggugurkan lebih 20 bom ke atas sekolah di Loikaw.
Beliau berkata, tiada pergerakan tentera atau pertempuran berlaku di kawasan itu ketika serangan dilancarkan.
“Menyasarkan sekolah yang menempatkan kanak-kanak kecil sedang belajar dan membedilnya berulang kali perbuatan adalah tidak berperikemanusiaan yang boleh dianggap sebagai jenayah perang,” katanya.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan pilihan raya pimpinan Aung San Suu Kyi menerusi rampasan kuasa pada 2021, sekali gus mencetuskan perang saudara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan perang itu mengorbankan 100,000 orang dan memaksa lebih 3.5 juta penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.
Serangan sepanjang hujung minggu lalu berlaku sebulan selepas serangan udara di daerah Kyauktaw dan Ponnagyun, negeri Rakhine, mengorbankan sekurang-kurangnya 58 orang di kem penempatan sementara penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Serangan berkenaan mencetuskan kecaman hebat masyarakat antarabangsa.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
