LAHAD DATU: Usaha memperkukuh kerjasama antara agensi penguatkuasaan terus diberi perhatian apabila Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), DCP Datuk Victor B Sanjos menerima kunjungan hormat Ketua Pejabat Imigresen Lahad Datu, Noorjamri bin Jamal di Pejabat ESSCOM, Lahad Datu, pagi tadi.
Kunjungan berkenaan menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat berkaitan isu-isu semasa, selain bertukar pandangan mengenai langkah memperkukuh inisiatif keselamatan dan penguatkuasaan di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan di kawasan sempadan maritim dan darat yang memerlukan kerjasama serta penyelarasan berterusan antara agensi berkaitan.
Kerjasama antara ESSCOM dan Jabatan Imigresen dilihat penting dalam memastikan usaha penguatkuasaan di kawasan ESS Zone dapat dilaksanakan secara bersepadu, khususnya dalam menangani isu keselamatan dan kawalan sempadan.
Pertukaran maklumat serta pandangan antara kedua-dua pihak juga mencerminkan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan kerja dalam memastikan keselamatan kawasan Zon Selamat Sabah Timur sentiasa diberi perhatian.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan ESSCOM dan Pejabat Imigresen Lahad Datu.-DAKWAT RAKYAT POST
