SARIKEI: Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditahan polis selepas dipercayai merosakkan beberapa mesin perbankan menggunakan parang sebelum mencederakan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Masjid Lama, di sini, awal pagi 1 November lalu.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy bin Anis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.05 tengah malam apabila suspek dipercayai bertindak merosakkan dua mesin juruwang automatik (ATM), dua mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di Hong Leong Bank, Jalan Masjid Lama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak demikian kerana berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM berkenaan.
“Suspek turut mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan dipercayai menggunakan sebilah parang untuk merosakkan mesin-mesin perbankan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, selepas kejadian itu, suspek dipercayai melarikan diri dengan memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum memandu melawan arus dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama.
Dalam kejadian berasingan di lokasi berhampiran, seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba menahan suspek mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas menggunakan parang.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Aswandy berkata, suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sarikei, manakala polis turut merampas sebuah Toyota Hilux dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Ketamin dan Benzodiazepine (Benzo), namun semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam situasi yang boleh mengancam keselamatan diri.
Sebaliknya, sebarang kejadian jenayah hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.-DAKWAT RAKYAT POST
