KOTA KINABALU: Penganjuran Borneo Safari diharap dapat diteruskan pada tahun depan bagi memeriahkan sambutan Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program berkenaan bukan sahaja menarik penyertaan peminat sukan pacuan empat roda dari dalam dan luar negara, malah turut memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Borneo Safari di Dewan Hakka, di sini, semalam.
Menurut Jamawi, penganjuran acara seumpama itu berpotensi memperkenalkan keunikan Sabah kepada pengunjung luar, selain merancakkan aktiviti pelancongan menerusi kehadiran peserta dan peminat sukan lasak.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Sabah Four Wheel Drive Association (SFWDA), Faez Nordin serta seluruh jawatankuasa penganjur atas kejayaan menjayakan Borneo Safari tahun ini.
Beliau turut menghargai sokongan semua penaja yang membantu menjayakan program berkenaan, selain mengalu-alukan penyertaan peserta dari Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Sebagai tanda penghargaan kepada para peserta, Jamawi turut mengumumkan tambahan hadiah wang tunai kepada pemenang pada majlis penutupan itu.
Hadir sama, Penolong Pengurus Bahagian Latihan Light Commercial Vehicle Division (LCVD), Masri Sani Kasmoi yang mewakili penaja Diamond temasya berkenaan; Pengurus Kanan Bahagian Strategi dan Pemasaran Bahan Api PETRONAS Dagangan Berhad, Tengku Intan Syarinaz Tengku Mahama; Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan Sabah, Azaman Poji serta Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Mohd Khairol Nizam Mohamad Ibrahim Khan.-DAKWAT RAKYAT POST
