BENGALURU: Harga minyak meningkat pada awal dagangan Asia hari ini susulan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm, Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan konflik yang berlarutan selama lapan bulan itu akan terus memuncak dan mengganggu bekalan minyak dari Asia Barat untuk tempoh lebih panjang.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 48 sen atau 0.5 peratus kepada AS$105.25 setong pada jam 1.04 pagi GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS naik 47 sen atau 0.5 peratus kepada AS$96.93 setong.
Niaga hadapan minyak mentah Brent ditutup pada AS$104.77 setong pada Isnin, susut AS$8.66 atau 7.63 peratus.
Wall Street Journal melaporkan, memetik pegawai AS, bahawa negara itu melancarkan serangan ke atas Pulau Qeshm, Iran.
Beberapa pegawai menyifatkan serangan berkenaan sebagai tindakan pertahanan bagi menghalang Iran daripada mempunyai kebebasan menyerang kapal komersial di Selat Hormuz.
“Laporan itu menambah semula premium risiko dalam harga minyak. Ketika pasaran mula mengambil kira kemungkinan penyelesaian menerusi diplomasi, peringatan mengenai aktiviti ketenteraan yang masih berterusan ini mengubah semula sentimen pasaran,” kata Ketua Penganalisis Pasaran KCM Trade, Tim Waterer.
Sementara itu, Tehran semalam memaklumkan bahawa hubungan antara Iran dan AS bagi menamatkan peperangan masih diteruskan, selepas rundingan Iran selama beberapa hari dengan pengantara Qatar berakhir dengan cadangan yang dipinda, namun tanpa sebarang kejayaan.
Presiden AS, Donald Trump, semalam menimbulkan keraguan sama ada beliau akan meneruskan ancaman untuk menyambung semula serangan ketenteraan terhadap Iran, selain menyatakan bahawa perjanjian dengan Tehran masih berkemungkinan dicapai.
Konflik antara AS dan Iran yang bermula pada akhir Februari lalu telah mengurangkan secara mendadak pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, yang sebelum ini menjadi laluan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak mentah dan gas asli dunia.
Perang Iran menjadi antara punca utama kenaikan harga petrol yang membebankan pengundi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Trump untuk menamatkan konflik berkenaan.
Harga minyak mentah Brent menamatkan dagangan Oktober pada paras tertinggi dalam tempoh enam bulan, berikutan kebimbangan konflik di Asia Barat mungkin kembali memuncak selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada Selasa.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, telah memberikan beberapa bidang kuasa tertentu kepada kerajaan bagi membolehkan rundingan damai dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan, AS akan menghimpunkan delegasi Ukraine dan Russia di Abu Dhabi pada 10 hingga 11 November ini bagi membincangkan usaha menamatkan peperangan Moscow terhadap Ukraine, perjanjian keselamatan selepas perang serta langkah meredakan ketegangan.
Kredit sumber: Reuters/Berita Harian
