KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara parti tempatan dan nasional perlu terus diperkukuh bagi memastikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan sepenuhnya, bukannya terperangkap dalam politik pengasingan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata perjuangan menuntut kesetaraan Sabah dalam Persekutuan Malaysia bukan agenda eksklusif parti tempatan atau nasional, sebaliknya memerlukan kesepakatan serta komitmen semua pihak.
Beliau berkata, pelbagai pencapaian berkaitan MA63 yang direalisasikan setakat ini membuktikan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pihak berkepentingan mampu membawa hasil nyata kepada negeri ini.
Katanya, antara pencapaian penting termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2021 membabitkan Perkara 1(2) dan 160(2), yang memperkukuh pengiktirafan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan dalam pembentukan Malaysia.
“Penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada kerajaan negeri membuktikan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri mampu merealisasikan autonomi Sabah.
“Begitu juga keputusan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan Persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan agensi tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Samasuddin berkata, peningkatan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D juga adalah antara agenda bersama yang diperjuangkan secara tersusun menerusi Jawatankuasa Khas MA63 dengan sokongan BN.
Beliau berkata, pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sabah turut membuktikan komitmen serta penyelarasan erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan.
Mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, berhubung peranan parti nasional dan kuasa tawar-menawar (bargaining power) Sabah dalam arena politik negara, Samasuddin berkata, perjuangan menuntut hak negeri itu tidak seharusnya menjadi asas kepada pemisahan politik.
Sebaliknya, beliau berpandangan sinergi antara gabungan tempatan dan rakan strategik di peringkat nasional perlu diperkukuh kerana pendekatan berkonfrontasi atau menolak kerjasama hanya akan merugikan rakyat Sabah dalam jangka panjang.
“UMNO Sabah kekal komited untuk berdiri teguh bersama rakan strategik seperti GRS dan seluruh kepimpinan tempatan bagi memastikan setiap hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan terus dipertahankan serta dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
