SELANGAU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut manakala abangnya cedera selepas lori rigid dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 115, Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu, awal pagi 3 November.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, mangsa, Danish anak James, 21, yang memandu lori jenis Nissan dipercayai hilang kawalan ketika dalam perjalanan dari arah Sibu menuju ke Bintulu.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar besi penghadang jalan.
Menurutnya, kemalangan itu turut melibatkan abang mangsa, Danny anak James, 29, yang bertugas sebagai kelindan lori berkenaan.
“Pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Selangau kira-kira jam 5.50 pagi ketika menerima rawatan.
“Manakala kelindan lori mengalami kecederaan di bahagian kaki dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala lori terbabit diarahkan dibawa ke Balai Polis Selangau bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat bin Jalimin menerusi talian 011-31627137 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.-DAKWAT RAKYAT POST
