MUKAH: Dua lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan Op Tapis Khas di sebuah bilik rumah pekerja di Jalan Tiong Hua, di sini, pada 2 November lalu.
Serbuan kira-kira jam 12.20 tengah hari itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah susulan maklumat yang diterima.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal bin Alias berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 29 tahun ditahan ketika berada di dalam bilik berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan lima keratan tiub straw lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 2.13 gram.
“Bahan disyaki dadah itu disimpan di dalam sebuah kotak rokok dan nilai rampasannya dianggarkan RM250.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bahan terlarang yang dirampas itu adalah milik mereka dan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak Mac 2026.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.
Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Mereka direman selama tiga hari sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, DSP Muhamad Rizal berkata, IPD Mukah akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di daerah berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan terbabit.-DAKWAT RAKYAT POST
