KUALA LUMPUR: Sebarang penambahbaikan kadar Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH), Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi penjawat awam perlu mengambil kira kemampuan fiskal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, kerajaan ketika ini tidak mempunyai dasar yang menetapkan kadar ketiga-tiga imbuhan itu diselaraskan secara berkala atau automatik.
Bagaimanapun, beliau berkata, kajian dan analisis berkaitan perkara itu terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menilai keperluan penambahbaikan.
“Untuk masa ini, tiada dasar yang menetapkan supaya kadar BISH, ITP dan ITKA diselaraskan secara berkala atau secara automatik.
“Namun begitu, ini tidak bermakna perkara tersebut tidak diberikan perhatian,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Dr Radzi Jidin (BERSATU-Putrajaya) yang meminta kerajaan menyatakan status semakan kadar BISH, ITP dan ITKA serta sama ada dasar penyelarasan berkala akan diperkenalkan bagi mengambil kira peningkatan kos sara hidup.
Mustapha berkata, sebarang cadangan penambahbaikan akan dibawa untuk pertimbangan kerajaan berdasarkan keadaan ekonomi, keperluan penjawat awam serta kemampuan kewangan negara.
Menurutnya, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) juga merupakan antara langkah penting kerajaan dalam menambah baik struktur saraan penjawat awam.
“Peningkatan gaji yang dilaksanakan melalui SSPA telah meningkatkan pendapatan penjawat awam dan secara langsung membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup semasa termasuk harga sewa rumah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam, namun setiap penambahbaikan saraan dan kadar elaun perlu dibuat secara bertanggungjawab.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengurusan kewangan negara kekal berhemah dan mampan tanpa meminggirkan kebajikan penjawat awam.-DAKWAT RAKYAT POST
