SEMPORNA: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki memiliki petrol dan diesel tanpa permit dalam satu operasi penguatkuasaan di kawasan rumah atas air, Kampung Balimbang Haji Jamal, Pulau Bum Bum, di sini, semalam.
Kes berkenaan membabitkan rampasan sebanyak 125 liter petrol dan 1,020 liter diesel, menjadikan jumlah keseluruhan 1,145 liter minyak yang disyaki barang kawalan.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, kes itu diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna oleh Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak pada 3 November lalu.
Selain minyak berkenaan, pihak penguat kuasa turut menyita dua bot kayu, sebuah enjin sangkut Yamaha 30 kuasa kuda (HP), sebuah enjin pam serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti terbabit.
Nilai rampasan bagi barang kawalan itu dianggarkan berjumlah RM5,934.15.
Susulan penahanan tersebut, KPDN Cawangan Semporna membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan berkaitan pengendalian barang kawalan.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.-DAKWAT RAKYAT POST
