SUNGAI PETANI: Tiga lelaki warga Pakistan ditahan selepas polis menyerbu sebuah premis rumah kedai yang disyaki dijadikan pusat operasi perjudian dalam talian atau calling centre di sini, awal pagi 2 November lalu.
Ketua Polis Kedah, CP Dato’ Adzli bin Abu Shah berkata, serbuan kira-kira jam 12.25 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dengan kerjasama Pegawai Pakar Judi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah serta pasukan SEAL Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun ditahan ketika berada di sebuah bilik di tingkat tiga premis berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati bilik itu dilengkapi peralatan komputer dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.
“Pemeriksaan awal Pegawai Pakar Judi turut menemukan paparan promosi serta aktiviti perjudian dalam talian pada peralatan yang diperiksa,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan pasport ketiga-tiga suspek mendapati dokumen perjalanan mereka telah tamat tempoh.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis itu sebagai pusat operasi.
Katanya, setiap suspek dipercayai menerima gaji sebanyak RM3,600 sebulan bagi menjalankan tugas mempromosikan dan mengendalikan aktiviti perjudian menerusi platform dalam talian.
“Siasatan lanjut mendapati kegiatan itu dipercayai menyasarkan pasaran perjudian di Nepal menggunakan laman sesawang evobet33.com.
“Sindiket berkenaan dipercayai memperoleh keuntungan sebanyak USD47,505, bersamaan kira-kira RM193,675,” katanya.
Selain kegiatan perjudian, pemeriksaan di premis itu turut menemukan unsur penggunaan bekalan elektrik melalui sambungan tidak sah yang disiasat sebagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan bekalan elektrik.
Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang utama, rangkaian operasi serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Ketiga-tiga suspek direman bermula 2 hingga 15 November 2026 bagi membantu siasatan.
Dato’ Adzli berkata, Polis Kontinjen Kedah memandang serius kegiatan perjudian haram, khususnya operasi perjudian dalam talian yang menggunakan premis sebagai pusat operasi.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat menerusi kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan jenayah seumpama itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian haram diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah.-DAKWAT RAKYAT POST
