KOTA KINABALU: Penyanyi popular Mawi bakal kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Pawana Pawaka’, hasil kerjasama AJ Productions Sdn Bhd dari Sabah dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.
Penerbitan itu menandakan kali pertama AJ Productions menerbitkan karya untuk Mawi, sekali gus membuka peluang kepada bakat kreatif Sabah bekerjasama dengan artis terkenal tanah air.
Ketua Pegawai Operasi AJ Productions, Jasnie Mohd Yaakub berkata, lagu itu dicipta olehnya, manakala lirik ditulis Kamarudin Hasim.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan menjadi pencapaian bermakna buat syarikat itu dalam usaha memperluas penglibatan penggiat seni Sabah ke peringkat nasional.
“Kerjasama ini menjadi satu pencapaian penting buat AJ Productions apabila berpeluang menerbitkan karya untuk penyanyi popular seperti Mawi.
“Ia juga membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah untuk terus berkembang dan mengetengahkan hasil karya mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Menurutnya, proses rakaman lagu itu sudah selesai dengan penglibatan pemuzik berpengalaman dalam industri muzik Malaysia.
Single berkenaan diterbitkan bersama AJ Productions dan Sheikh Qalam Records, manakala urusan edaran dikendalikan AJ Productions.
‘Pawana Pawaka’ dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, namun tarikh rasmi belum diumumkan.
Peminat boleh mengikuti saluran rasmi Mawi dan AJ Productions untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pelancaran lagu itu.-DAKWAT RAKYAT POST
