KOTA KINABALU: Biarpun baru berusia sembilan dan tujuh tahun, dua beradik dari Sabah, Farish Abraham Larkins dan Julianna Rowse Larkins, mula mengorak langkah dalam dunia lakonan menerusi filem Duyung Supirak yang mengangkat legenda duyung dari Pulau Supirak, Pitas.
Penglibatan sulung mereka dalam filem terbitan ONtv Production itu bukan sahaja membuka ruang untuk mengembangkan bakat lakonan, malah menjadi peluang untuk memperkenalkan warisan legenda tempatan Sabah kepada khalayak lebih luas.
Filem arahan Jade Morris itu kini menjalani penggambaran di sekitar Pulau Supirak, Pitas, dengan keindahan alam semula jadi pulau berkenaan menjadi latar utama bagi menghidupkan kisah legenda yang menjadi sebahagian daripada warisan tempatan itu.
Farish, sembilan tahun, dan Julianna, tujuh tahun, yang berasal dari Kota Kinabalu serta bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, membawakan watak kanak-kanak yang mempunyai kaitan rapat dengan kisah Kuratang dan legenda duyung di Pulau Supirak.
Bagi kedua-dua beradik itu, peluang membintangi filem berkenaan menjadi pengalaman baharu yang bermakna, selain memberi pendedahan awal terhadap dunia perfileman dan seni lakonan.
Julianna turut aktif dalam bidang seni persembahan apabila menyertai aktiviti tarian menerusi Persatuan Kelab Senamrobik Neelam, sekali gus memperlihatkan minatnya terhadap bidang seni sejak usia muda.
Filem Duyung Supirak dijadualkan menemui penonton pada 2027 dan diharap dapat membawa kisah legenda tempatan Sabah ke layar perak untuk dinikmati oleh penonton dalam dan luar negara.
Selain mengangkat kisah warisan dan budaya tempatan, penerbitan filem itu turut berpotensi mempromosikan sektor pelancongan di daerah Pitas, khususnya Pulau Supirak, yang memiliki keindahan alam semula jadi serta nilai warisan tersendiri.
Menerusi karya berkenaan, legenda tempatan bukan sahaja dapat diketengahkan melalui medium perfileman, malah berpeluang menarik minat generasi muda untuk mengenali dan menghargai khazanah budaya Sabah.-DAKWAT RAKYAT POST
