KAJANG: Polis menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa seorang wanita maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan hantaran di Facebook menerusi akaun ‘Luahan Rakyat Malaysia’ yang mendakwa kejadian itu berlaku.
Hantaran berkenaan menyebut wanita dikenali sebagai Nurul Fadhilah Hamidi meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut.
Ia turut mendakwa kejadian berpunca daripada kebocoran arus elektrik pada kerusi urut ketika wanita itu menunggu bapanya membeli kasut di kedai berhampiran.
“Bagaimanapun, siasatan polis mengesahkan tiada kejadian sedemikian berlaku di mana-mana pusat beli-belah sekitar daerah Kajang,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, tindakan mengikut undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang menyebarkan maklumat tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan orang awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan mengenai perkara itu diminta merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia atau menghubungi IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau balai polis berhampiran.-DAKWAT RAKYAT POST
