KOTA KINABALU: Hubungan lebih tiga dekad bersama pengamal media menjadi antara kenangan bermakna buat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jauteh berkata, sejak mula mengenali pengamal media pada 1995, beliau menghargai komitmen wartawan yang sentiasa menjalankan tugas tanpa mengira masa dan keadaan cuaca demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Katanya, kerjasama erat antara polis dan media turut membantu memastikan maklumat berkaitan keselamatan, pencegahan jenayah serta isu semasa disampaikan dengan tepat dan jelas kepada orang ramai.
“Kadang-kadang kita melihat wartawan bekerja dalam keadaan hujan dan panas, tetapi mereka tetap menjalankan tanggungjawab untuk mendapatkan berita.
“Sumbangan dan kerjasama yang diberikan selama ini amat saya hargai kerana banyak membantu tugas kami dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pesuruhjaya Polis Sabah Bersama Media 2026, di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Jauteh turut berkongsi pengalaman apabila sebahagian kenyataannya pernah dipetik di TikTok tanpa konteks penuh sehingga menimbulkan tafsiran berbeza dalam kalangan masyarakat.
Katanya, perkara itu mencetuskan laporan polis, namun rakaman penuh yang dimiliki wartawan ketika berada di lokasi membantu menjelaskan keadaan sebenar.
Beliau berkata, pengalaman itu memperlihatkan pentingnya penyampaian maklumat secara tepat bagi mengelakkan kenyataan disalah tafsir akibat petikan yang tidak lengkap.
Pada masa sama, Jauteh turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau kesilapan pihak PDRM sepanjang urusan bersama pengamal media.
Beliau berharap hubungan dan persahabatan yang terjalin dapat diteruskan walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan kepolisan.
“Selepas ini saya akan kembali menjadi orang awam, tetapi hubungan dan persahabatan yang terjalin dengan rakan media tetap saya hargai.
“Terima kasih atas segala sokongan dan kerjasama sepanjang saya menjalankan amanah di Sabah,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
