TAWAU: Seorang wanita warga China dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang individu lelaki, di sebuah pusat refleksologi, Rabu lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Zhang Hong, 31, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 4 November lalu dan tertuduh akan dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Zhang Hong didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang lelaki di sebuah pusat refleksologi di Ba Zhong Commercial Centre, di sini, jam 10.05 malam, 4 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau memeriksa dan menyerbu pusat refleksologi itu menerusi Operasi Noda.
Seorang ejen polis yang menyamar sebagai pelanggan dibawa ke bilik bernombor S26 di tingkat bawah premis berkenaan.
Ejen itu memaklumkan kepada pegawai polis menerusi aplikasi WhatsApp bahawa tertuduh menawarkan kepadanya perkhidmatan seks dengan berkata “one shot RM700 sahaja”.
Ejen terbabit kemudian menyerahkan wang seperti yang dipersetujui sebelum sepasukan polis menyerbu lokasi berkenaan.
Pemeriksaan di dalam bilik dengan disaksikan tertuduh menemukan sekeping kondom yang sudah digunakan di atas lantai, manakala wang tunai RM700 dan plastik pembungkus kondom ditemukan di atas katil.
Ketika disoal siasat awal, tertuduh mengaku menawarkan perkhidmatan seks kepada ejen polis berkenaan. Pasukan serbuan kemudian menahan tertuduh dan merampas semua barangan terbabit.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon denda diringankan atas alasan perlu menyara anak perempuannya yang berusia sembilan tahun dan sudah bercerai dengan suaminya. Katanya, anak itu kini bersekolah di Zhi Jiang, China dan kini dijaga oleh neneknya.
Pegawai pendakwa, Asisten Superintendan Jeffery Kadisun memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh. Beliau turut memohon supaya wang rampasan RM700 dilucut hak kepada kerajaan, barang kes dilupuskan dan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah membenarkan permohonan lucut hak wang rampasan dan pelupusan barang kes serta memerintahkan tertuduh dirujuk kepada JIM selepas selesai menjalani hukuman.-DAKWAT RAKYAT POST
