SEMPORNA: Dua lelaki ditahan selepas 275 liter minyak diesel dan petrol dirampas dalam satu operasi penguatkuasaan di daerah ini, 4 November lalu.
Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, rampasan itu melibatkan 250 liter minyak diesel dan 25 liter minyak petrol.
Kes berkenaan diserahkan kepada KPDN Cawangan Semporna oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna untuk tindakan lanjut.
Turut disita ialah sebuah kenderaan jenis Isuzu Invader berwarna biru yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Nilai rampasan minyak diesel dan petrol dianggarkan RM1,428, manakala kenderaan terbabit bernilai kira-kira RM15,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM16,428.
KPDN Semporna turut membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan berkaitan kawalan bekalan dan memberi amaran bahawa tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan.-DAKWAT RAKYAT POST
