KUALA KRAI: Seorang wanita berusia 55 tahun maut selepas motosikal yang diboncengnya bergesel dengan tayar belakang sebuah treler sebelum terjatuh dan terseret di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, mangsa yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan bin Mamat berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan treler itu kira-kira jam 1.20 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler jenis Volvo berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Krai sebelum pemandunya menyedari sebuah motosikal bergesel dengan bahagian tayar paling belakang sebelah kiri kenderaan berat itu.
Pergeseran tersebut menyebabkan motosikal berkenaan terjatuh dan terseret oleh treler.
Penunggang motosikal yang merupakan suami mangsa, seorang lelaki berusia 56 tahun, mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu treler berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang menunggang secara melulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya yang sibuk, terutama sepanjang musim cuti perayaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Khairul Izaat bin Md Nasir menerusi talian 09-966 6222.-DAKWAT RAKYAT POST
