KUALA LUMPUR: Sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Istana Negara dalam hantaran yang dikongsi di akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegaskan, semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat yang memperkenankan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah telah pun dipenuhi.
Menurut kenyataan itu, perintah pengampunan yang diputuskan pada 18 September 2026 adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, selain tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
“Pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya Dato’ Sri Mohd Najib membayar denda RM50 juta,” jelas kenyataan itu.
Sehubungan itu, Istana Negara menegaskan, tidak sepatutnya timbul sebarang kekeliruan tafsiran mahupun ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
Kenyataan itu turut memperingatkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, pelaksanaan kuasa tersebut wajar dihormati sepenuhnya selaras dengan kedudukan sistem Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong,” tegas Istana Negara lagi.
Sumber- Astro Awani
