SEMPORNA: Pelajar tahfiz diingatkan supaya tidak menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai sumber rujukan utama berkaitan al-Quran, sebaliknya perlu mendapatkan pengesahan guru bagi memastikan ketepatan maklumat yang diperoleh.
Timbalan Mufti Sabah, Abdul Razak Hamdin berkata, AI boleh dimanfaatkan sebagai alat bantu pembelajaran, namun penggunaannya perlu disertai semakan daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang al-Quran.
Beliau berkata, teknologi AI masih berisiko memberikan maklumat tidak tepat, termasuk mencampuradukkan ayat al-Quran dengan hadis apabila diminta menghasilkan maklumat berkaitan kedua-dua sumber berkenaan.
“Dia bagus sebagai alat bantu, bukan sebagai satu rujukan yang utama.
“Kadang-kadang kita minta al-Quran, dia bagi hadis. Kita minta hadis, dia bagi al-Quran. Sebab itu kita perlu merujuk semula kepada mereka yang arif, terutama para huffaz apabila melibatkan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan bangunan baharu Maahad Tahfiz Darul Ifta’ Wal Isnad (MTDI) di Kampung Sakong Kecil, di sini, hari ini.
Mengulas kaedah pembelajaran di institusi tahfiz, Abdul Razak berkata, pelajar bukan sahaja dilatih menghafaz al-Quran menerusi kaedah hifzul Quran, malah turut mempelajari penulisannya melalui hifzul sutur.
Katanya, aspek ketepatan bacaan pula perlu dipastikan menerusi kaedah membaca secara berhadapan dengan guru bagi membolehkan sebarang kesilapan diperbetulkan serta-merta.
“Secara tradisional, musyafaah secara bersanad, berhadapan dengan guru itu satu kemestian,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penggunaan AI dalam institusi pengajian Islam di Sabah sudah mula dilaksanakan secara tidak rasmi di beberapa maahad dan pondok, namun pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai jumlah institusi yang menggunakannya.
Katanya, penggunaan teknologi berkenaan di MTDI pula masih dalam perancangan, selaras keperluan institusi pengajian Islam mengikuti perkembangan semasa tanpa mengabaikan al-Quran dan sunnah sebagai asas pendidikan.
Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan sebanyak 344 institusi pendidikan Islam akan diperkasa menerusi penguasaan AI dan robotik dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Mengulas peluang kerjaya graduan tahfiz, Abdul Razak berkata, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) mampu membuka ruang lebih luas kepada golongan itu untuk menceburi pelbagai bidang pekerjaan.
Katanya, graduan tahfiz juga berpotensi menyumbang dalam bidang profesional termasuk kejuruteraan elektrik, perkomputeran, elektronik dan penguatkuasaan.
“Kita sudah ada jurutera elektrik yang juga penghafaz al-Quran. Dalam bidang perkomputeran, elektronik dan penguatkuasaan pun ada dalam kalangan orang yang hafiz.
“Pendidikan tahfiz sudah menyumbang kepada pembangunan negara dari sudut sosial dan akhlak. Didikan rohani penting untuk mendidik seseorang supaya berakhlak mulia,” katanya.
Abdul Razak berkata, MTDI ketika ini mempunyai 30 pelajar dan lima tenaga pengajar, dengan tempoh tiga tahun diperuntukkan bagi menamatkan hafazan al-Quran.
Sementara itu, Mudir MTDI, Muhammad Nazran Arbaa Al Hafiz berkata, maahad yang beroperasi hampir empat tahun itu menawarkan pengajian kepada pelajar berusia antara sembilan hingga 20 tahun.
Katanya, bangunan baharu maahad berkenaan dibina sendiri pihak pengurusan di atas tanah wakaf seluas 0.3 ekar.
“Maahad ini sudah melahirkan dua orang pelajar yang sudah mengkhatamkan hafazan al-Quran. Insya-Allah, akan lebih ramai lagi yang menyusul.
“Kita ada pengajian sepenuh masa untuk pelajar yang tinggal di asrama. Bagi yang masih bersekolah di luar, kita tawarkan pengajian separuh masa. Mereka boleh datang dari petang hingga malam atau pada hujung minggu,” katanya.-DAKWAT RAKYAT POST
