LAHAD DATU: Seekor ular sawa sepanjang kira-kira lima meter dengan berat dianggarkan 80 kilogram ditangkap anggota bomba selepas ditemukan di tingkap tandas sebuah rumah di Taman Aman Jaya, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.06 malam.
Katanya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) digerakkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati seekor ular sawa berada di tingkap tandas rumah seperti yang dilaporkan pengadu.
“Anggota kemudian bertindak menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas penjerut ular,” katanya.
Beliau berkata, ular berkenaan berjaya ditangkap sebelum dilepaskan di kawasan hutan yang jauh daripada penempatan penduduk.
Operasi yang bermula pada jam 11.15 malam itu tamat sepenuhnya pada 11.34 malam selepas keadaan disahkan selamat dan tiada lagi ancaman lain.-DAKWAT RAKYAT POST
