LAHAD DATU: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 51 dan 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan menggunakan tiket Toto palsu sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai serta barangan kemas di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Haji Dzulbaharin Haji Ismail dalam satu kenyataan media berkata,tangkapan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu hasil risikan, siasatan dan tindakan operasi yang dijalankan.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta sekeping cek tertera perkataan ‘Sports Toto’ yang disyaki palsu.
Menurut kenyataan itu, modus operandi suspek adalah menyasarkan wanita berusia dengan berpura-pura berkenalan sebelum meminta bantuan mangsa untuk menebus tiket Toto yang kononnya memenangi hadiah.
Suspek kemudian menunjukkan tiket Toto bersama cek tunai yang disyaki palsu bagi meyakinkan mangsa sebelum membawa mereka menaiki kereta menuju ke premis Toto berhampiran.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, mangsa diminta menyerahkan wang tunai atau barangan kemas sebagai wang jaminan bagi tujuan penebusan hadiah berkenaan.
Selepas mangsa diturunkan dan berjalan menuju ke kedai Toto, suspek akan melarikan diri bersama barangan berharga yang diserahkan.
Polis kini masih mengesan seorang lagi suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menghubungi IPD Lahad Datu menerusi talian 089-881255 atau Bahagian Risikan dan Operasi di talian 016-2575282.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang tidak munasabah serta mengelakkan diri daripada mempercayai individu tidak dikenali.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan- DAKWAT RAKYAT POST.
