TAWAU: Populariti sukan pickleball yang semakin mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat membuka peluang untuk disenaraikan sebagai acara pertandingan pada temasya Sukan Sabah (SAGA) akan datang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata cadangan itu akan diteliti menerusi jawatankuasa berkaitan bagi menilai kesesuaian sukan berkenaan untuk dipertandingkan.
Menurutnya, pemilihan acara SAGA ketika ini lazimnya memberi keutamaan kepada sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan pesat pickleball yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat membuka ruang untuk sukan itu turut dipertimbangkan.
“Kita sentiasa melihat apa juga jenis sukan, bukan hanya pickleball. Kita mempunyai jawatankuasa untuk menilai kerana sukan yang dipertandingkan dalam SAGA selalunya adalah sukan dalam senarai Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.
“Namun, kita boleh mengambil perhatian dan memberi pertimbangan kerana sukan ini semakin hari semakin ramai peminat. Mungkin kita akan teliti sama ada ia boleh disenaraikan dalam SAGA pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Double Bounce Pickleball Club di Simpang Lima, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau, Mohd Faiz Ridwan Mohd Noor.
Dalam perkembangan sama, Nizam berkata, kementeriannya merancang menyediakan lebih banyak gelanggang pickleball di kompleks sukan bawah seliaannya bermula tahun depan bagi menampung peningkatan permintaan terhadap kemudahan sukan itu.
Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai masyarakat menceburi sukan itu, malah menjadi platform mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Mengulas penganjuran pertandingan pickleball tertutup Sabah oleh Kelab Double Bounce Pickleball Tawau, beliau berkata, penyertaan kira-kira 150 peserta membuktikan sukan itu semakin mendapat sambutan meluas.
Malah, katanya, pertandingan itu turut menarik penyertaan pemain dari Lahad Datu, Semporna dan Kunak, selain pemain tempatan.
Menurutnya, perkembangan itu memberi petunjuk positif terhadap potensi pickleball untuk berkembang sebagai sukan kompetitif yang mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi bagi mewakili Sabah di peringkat kebangsaan dan seterusnya mengharumkan nama negara.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan di Sabah, saya amat menyokong penganjuran seperti ini kerana hasrat kita adalah untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri sukan atau sport state.
“Kita mahu melahirkan atlet berprestasi tinggi yang bukan sahaja mampu mewakili Sabah di peringkat kebangsaan, malah berpeluang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Nizam berkata, kelebihan pickleball yang boleh dimainkan pelbagai peringkat umur, termasuk golongan belia, turut menjadikannya antara pilihan aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kesihatan dan kecergasan masyarakat.
Beliau berharap lebih banyak kejohanan seumpama itu dianjurkan bagi memperluas penyertaan masyarakat serta mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi-DAKWAT RAKYAT POST.
