KUALA LUMPUR: Perlawanan bola sepak persahabatan antara pasukan pilihan Menteri Dalam Negeri dan Astro Arena FT di Stadium Merdeka, di sini, menjadi platform memperkukuh hubungan kerjasama serta mengeratkan silaturahim antara agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pengamal media.
Perlawanan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang turut menyaksikan penyertaan wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pasukan pilihan beliau.
Antara yang mengambil bahagian ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil bin Hj. Marsus, bersama beberapa wakil daripada KDN dan PDRM yang berganding tenaga dalam perlawanan menentang Astro Arena FT.
Penganjuran perlawanan persahabatan itu bukan sekadar memberi ruang kepada peserta menunjukkan minat dan kemahiran dalam sukan bola sepak, malah menjadi medium membina hubungan lebih erat dalam suasana santai di luar tugasan rasmi masing-masing.
Hubungan baik antara agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan pengamal media juga penting dalam mewujudkan komunikasi serta kerjasama yang lebih akrab, khususnya dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Selain itu, aktiviti sukan seperti ini turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui kegiatan fizikal, di samping memupuk semangat berpasukan, disiplin, integriti dan nilai kebersamaan.
Penyertaan pelbagai pihak dalam perlawanan berkenaan memperlihatkan bagaimana sukan mampu menjadi medium penyatuan tanpa mengira latar belakang organisasi, sekali gus membuka ruang kepada hubungan profesional dan persahabatan yang lebih kukuh.
Inisiatif seumpama itu diharap dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha membudayakan aktiviti sihat serta mempererat hubungan antara warga KDN, PDRM dan pihak media.-DAKWAT RAKYAT POST
