TAWAU: Kenaikan geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 mulai tahun depan disifatkan sebagai suntikan baharu bagi memperkasa aktiviti kemasyarakatan dan mengeratkan perpaduan penduduk di peringkat akar umbi.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata peningkatan sebanyak RM4,000 itu membuktikan kerajaan Persekutuan mengiktiraf sumbangan KRT sebagai antara tunjang penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, peruntukan tambahan itu juga memberi lebih ruang kepada jawatankuasa KRT untuk merancang pelbagai program yang bukan sahaja bersifat kemasyarakatan, malah mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Ini adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan kepada semua KRT di seluruh negara, termasuk KRT Taman Apas Permai.
“Sudah pasti dengan kenaikan geran ini, sedikit sebanyak dapat membantu jawatankuasa KRT melaksanakan aktiviti bermanfaat kepada penduduk, khususnya dalam memperkukuh perpaduan dan mengeratkan silaturahim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Sukan Keluarga MADANI 2026 anjuran KRT Taman Apas Permai, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Nizam berkata, penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi seperti berkenaan menjadi platform terbaik menghimpunkan penduduk setempat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama.
Katanya, sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan program seumpama itu masih relevan dan perlu diperbanyakkan bagi memastikan hubungan kejiranan terus erat.
Beliau turut memuji komitmen jawatankuasa KRT Taman Apas Permai yang berjaya menganjurkan program berkenaan, selain menghargai sokongan Pegawai Perpaduan Daerah Tawau, Sitti Noryati Mohd Safrie dalam membantu menjayakan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya sebagai pemimpin di kawasan ini amat menyokong dan mendokong program seumpama ini kerana ia menjadi wadah untuk masyarakat di setiap kawasan perumahan atau penempatan hidup bersatu padu.
“Kita berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan hubungan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan penduduk terus diperkukuh,” katanya.
