NABAWAN: Kampung Murni A, Nabawan dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI dengan pelaksanaan beberapa projek pembangunan bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta kesejahteraan penduduk setempat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya akan melaksanakan empat projek pembangunan utama di kampung berkenaan menerusi inisiatif itu.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembinaan baharu dewan serbaguna kampung, gelanggang futsal lengkap dengan bumbung dan lampu serta bangunan awam yang menempatkan bilik air dan bilik persalinan.
Selain itu, kawasan kampung turut dilengkapi kemudahan lampu solar yang dipasang menerusi kerjasama pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GIATMARA.
Arthur berkata, kemudahan dewan serbaguna dan gelanggang futsal baharu itu akan menyediakan ruang lebih selesa kepada penduduk untuk menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta pertandingan sukan.
Katanya, pemasangan lampu solar di sepanjang jalan dan berhampiran simpang masuk kampung pula dijangka meningkatkan tahap pencahayaan, keselesaan serta keselamatan penduduk, selain membolehkan gelanggang futsal digunakan pada waktu malam.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan untuk membawa pembangunan dan kemudahan yang diperlukan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, selaras dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat.- DAKWAT RAKYAT POST
