PAPAR: Perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun maut selepas ditemukan dengan kesan kelar pada leher di kediamannya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, petang semalam.
Susulan kejadian itu, seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun yang disyaki terbabit dalam pembunuhan berkenaan berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam.
Suspek diberkas kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama menerusi operasi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di rumahnya kira-kira jam 6.15 petang semalam.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan serius pada bahagian leher mangsa yang dipercayai akibat dikelar menggunakan senjata tajam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkemungkinan berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa berhubung hutang pembelian barangan runcit.
“Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Heryan berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk tujuan pemeriksaan serta analisis forensik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Papar atau balai polis berhampiran- DAKWAT RAKYAT POST.
