PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan semua aktiviti rekreasi air sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 berikutan risiko peningkatan paras air secara mendadak dan kejadian kepala air.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, aktiviti seperti mandi-manda, berenang, berkelah dan berkhemah di kawasan sungai, jeram, air terjun serta tali air perlu dielakkan sepanjang tempoh berkenaan.
Nasihat itu dikeluarkan susulan keadaan cuaca tidak menentu serta kejadian hujan lebat dan berterusan di beberapa kawasan yang berpotensi menyebabkan arus deras, kenaikan paras air secara tiba-tiba dan fenomena kepala air.
JBPM turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai juga diminta supaya tidak menunggu sehingga keadaan air menjadi deras sebelum bertindak meninggalkan kawasan berisiko kerana fenomena kepala air boleh berlaku dalam tempoh singkat.
Sekiranya berlaku kecemasan, orang ramai diminta menghubungi talian kecemasan 999 dengan segera serta memberikan maklumat lokasi kejadian kepada pasukan penyelamat.
Dalam kenyataan sama, JBPM turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 9 November lalu.
Kejadian itu dilaporkan membabitkan lapan individu yang dihanyutkan arus deras ketika melakukan aktiviti rekreasi dan pendakian di sekitar kawasan berkenaan.
Selain itu, seramai 26 individu yang terkandas berhampiran lokasi kejadian berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.
JBPM menyifatkan tragedi berkenaan sebagai peringatan serius mengenai risiko keselamatan aktiviti rekreasi di kawasan sungai dan hutan, khususnya ketika cuaca tidak menentu sepanjang musim monsun.
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan nyawa dan mengelakkan aktiviti di kawasan berisiko sepanjang tempoh MTL.-DAKWAT RAKYAT POST
