SKUDAI: Polis menahan tiga lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Azrol Anuar bin Nor berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara kira-kira jam 4.30 pagi, 10 November lalu.
Menurutnya, beberapa rampasan turut dilakukan di sekitar Skudai dalam operasi tangkapan susulan berkenaan.
Penahanan itu dibuat susulan penangkapan empat lelaki tempatan sebelum ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berhubung kejadian berkenaan seramai tujuh orang.
Hasil semakan mendapati dua daripada tiga suspek terbaharu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek turut didapati negatif dadah.
Azrol berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor sebelum arahan pertuduhan diberikan terhadap enam suspek.
Empat suspek akan dituduh mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai atau mengabaikan langkah keselamatan berkaitan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berisiko menyebabkan kecederaan kepada orang lain.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, dua lagi suspek akan dituduh mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan atau membiarkan kenderaan berhenti di jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan raya lain.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Seorang lagi suspek dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
Keenam-enam suspek dijadualkan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 11 November 2026.
Dalam pada itu, Azrol menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelakkan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Utara di 07-5563122.-DAKWAT RAKYAT POST
