BINTULU: Sarawak akan terus mempertahankan haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus bertegas dalam memperjuangkan hak perlembagaan dan wilayah negeri ini, sambil menyifatkan perkara itu sebagai satu tanggungjawab terhadap rakyat.
“Selagi saya memimpin, saya tidak akan berundur dalam mempertahankan hak kita di bawah MA63,” katanya ketika merasmikan Jambatan Batang Kemena, Sebauh dekat sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kedudukan Sarawak dalam memperjuangkan haknya diperkukuh melalui perpaduan rakyat serta kesatuan dalam kalangan kepimpinan politik negeri.
“Kita berjuang berdasarkan fakta dan hak kita di bawah MA63.
“Apabila kita bersatu, ramai rakyat berada di belakang saya,” katanya.
Beliau berkata, keputusan Sarawak untuk memperjuangkan kawalan yang lebih besar terhadap sumber negeri, khususnya dalam sektor minyak dan gas, merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan ekonomi negeri.
“Saya menubuhkan PETROS (Petroleum Sarawak) kerana ia merupakan entiti milik Sarawak yang boleh mengambil bahagian dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata, strategi ekonomi Sarawak bertujuan meningkatkan hasil pendapatan negeri supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, penjagaan kesihatan serta pelbagai bidang lain yang memberi manfaat kepada rakyat.
Abang Johari turut menegaskan bahawa pendekatan pembangunan Sarawak bukan bertujuan meminggirkan bahagian lain di Malaysia, sebaliknya negeri ini akan terus menyumbang kepada negara sambil mempertahankan kepentingannya sendiri.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online – Disiarkan pada 9 November 2026
