Washington: Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White menegaskan tidak berminat menceburi politik selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara berseloroh menawarkan jawatan Setiausaha Akhbar Rumah Putih kepadanya.
Ketika muncul di Bilik Taklimat Akhbar James Brady di Rumah Putih, Trump secara spontan mengemukakan tawaran itu kepada White selepas membawa bos UFC berkenaan ke sesi soal jawab bersama media.
“Adakah anda berminat dengan jawatan itu atau mahu terus bersama UFC yang tidak masuk akal ini?” kata Trump.
White yang juga sahabat lama Trump bagaimanapun menolak tawaran berkenaan.
“Terima kasih atas tawaran itu, tuan. Saya tidak mahu terbabit dalam politik,” katanya.
Trump kemudian tersenyum sebelum meninggalkan bilik berkenaan sambil berseloroh: “Saya amat kecewa mendengarnya. Selamat tinggal semua.”
Trump mengejutkan ramai pihak pada Sabtu lalu apabila mendakwa sudah menawarkan jawatan berkenaan kepada White, yang kosong sejak Katie Zacharia meninggalkannya pada 16 Oktober selepas kurang seminggu memegang tugas itu.
Bagaimanapun, Trump menjelaskan sehari kemudian bahawa tawaran itu sekadar gurauan, namun menambah White menyukai idea berkenaan.
White, 57, mempunyai hubungan rapat dengan Trump sejak sekian lama dan turut membantu menganjurkan acara UFC berskala besar di kawasan lapang Rumah Putih awal tahun ini.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
