GLASGOW: Conor McGregor mahu berdepan sekali lagi dengan Max Holloway apabila kembali beraksi selepas menjalani pembedahan lutut, dalam pertarungan yang dijangka menjadi aksi terakhirnya di bawah kontrak semasa bersama UFC.
McGregor berkata pada sidang media selepas acara BKFC Glasgow hujung minggu lalu bahawa menyelesaikan persaingannya dengan Holloway kekal menjadi pilihan utama selepas pertemuan semula mereka pada Julai lalu hanya berlangsung selama 69 saat.
“Ia mesti Holloway. Lakukan sahaja pertarungan itu sekali lagi,” kata McGregor.
Holloway diberikan kemenangan TKO pusingan pertama pada UFC 329, 11 Julai lalu selepas McGregor mengalami kecederaan ACL di lutut kanannya ketika cuba melakukan tendangan lompat pada saat awal pertarungan.
Petarung Ireland itu menjalani pembedahan selepas kejadian berkenaan dan belum kembali beraksi sejak itu.
Keputusan itu menyamakan rekod pertemuan kedua-dua petarung. McGregor memenangi pertemuan pertama menerusi keputusan sebulat suara pada Ogos 2013 meskipun mengalami kecederaan di lutut kirinya ketika pertarungan berlangsung.
McGregor, 38, berkata proses pemulihannya berjalan lancar sehingga dia percaya mampu kembali beraksi sebelum musim panas tahun depan. Sebelum ini, dia mencadangkan Minggu Pertarungan Antarabangsa pada tahun 2027 sebagai sasaran untuk kembali ke gelanggang.
“Saya sedang dalam perjalanan untuk kembali. Sekarang November, bukan? Sudah tiga bulan sejak saya menjalani pembedahan. Saya pernah mengalami kecederaan ini sebelum ini dan kembali beraksi dalam tempoh sembilan bulan. Jadi, sembilan bulan bermakna sebelum musim panas,” kata McGregor.
Holloway memberi petunjuk bahawa dia terbuka untuk pertarungan kali ketiga, meskipun McGregor mengakui keadaan tertentu mungkin memaksanya mempertimbangkan lawan lain.
Jika Holloway tidak tersedia, McGregor berkata dia akan mempertimbangkan petarung lain, tetapi hanya mereka yang pernah bergelar juara dunia atau memiliki pencapaian setanding.
Bekas juara kelas featherweight dan lightweight UFC itu kembali beraksi selepas berehat selama lima tahun menerusi pertarungan menentang Holloway pada Julai lalu.
Penampilan sebelumnya juga berakhir akibat kecederaan serius pada kaki apabila dia mengalami patah tulang tibia dan fibula kiri ketika menentang Dustin Poirier pada Julai 2021.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
